Kabinet MADANI baharu tekankan iltizam dan tanggungjawab kepada rakyat – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan bahawa anggota Kabinet Kerajaan MADANI yang baharu diamanahkan perlu bekerja dengan penuh iltizam dan tanggungjawab, memastikan kesejahteraan rakyat dan kepentingan negara sentiasa menjadi keutamaan.

Anwar berkata, pengumuman barisan kepimpinan baharu ini menandakan langkah penting untuk memperkukuh pentadbiran kerajaan serta menguatkan fokus terhadap rakyat.

“Harapan saya adalah agar semua yang diberikan amanah ini dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, menegakkan keadilan, serta memastikan setiap keputusan kerajaan sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada barisan pimpinan terdahulu atas khidmat bakti dan sumbangan mereka dalam menjayakan agenda reformasi dan pembangunan negara.

Perdana Menteri mengumumkan pelantikan anggota pentadbiran Kerajaan MADANI yang baharu di Bangunan Perdana Putra pada Selasa.

Pelantikan itu adalah langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat