Tiada Salah Guna Tabung ‘Justice For Zara’ – Marhamah

PETALING JAYA: Tiada sebarang dana disalah guna dalam pengurusan akaun Tabung Justice for Zara, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.

Beliau berkata, segala kutipan digunakan sepenuhnya bagi menampung kos proses inkues dan prosiding kes melibatkan pelajar sekolah, Zara Qairina Mahathir.

Sebagai aktivis yang mencetuskan gerakan Justice for Zara, Marhamah turut menekankan bahawa akaun tabung tersebut diasingkan sepenuhnya dan tidak dicampur dengan akaun lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pernah dipengerusikan beliau.

“Tabung tersebut meletakkan penama tersendiri iaitu ibu Mahathir, beberapa peguam serta jawatankuasa NGO,” katanya.

Setakat jam 9 pagi Khamis, jumlah kutipan tabung berkenaan mencecah RM254,995.92 dengan baki RM96,059.97 selepas mengambil kira perbelanjaan termasuk kos pengangkutan dan penginapan saksi pakar serta keluarga Zara Qairina sepanjang persiapan dan perjalanan inkues.

“…Sepanjang proses inkues ini kami melibatkan beberapa saksi pakar, jadi kos pengangkutan dan penginapan mereka menggunakan tabung ini.

“Begitu juga kos pengangkutan dan penginapan keluarga Zara Qairina untuk menghadiri mesyuarat dan persiapan inkues turut ditanggung menggunakan tabung ini,” katanya.

Marhamah berkata demikian kepada pemberita seusai mengangkat sumpah jawatan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara pada Rabu.

Beliau berkata, kutipan dana tersebut turut mendapat permit daripada Jabatan Ketua Menteri dan dimaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah dengan laporan lengkap sehingga November 2025 telah disediakan.

“Kami memang bersedia untuk menyerahkan kepada pihak berkuasa (untuk diaudit),” katanya, sambil menambah baki dana sedia ada dijangka tidak mencukupi memandangkan proses inkues masih berjalan,” ujarnya.

Untuk info, Marhamah sebelum ini dikenali sebagai antara figura terawal yang memperjuangkan keadilan buat Zara Qairina, pelajar sekolah agama di Papar yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu, sekali gus mencetuskan solidariti nasional melalui gerakan Justice for Zara.

Anda Mungkin Berminat