KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus daripada kadar biasa selama dua hari, iaitu pada 23 dan 24 Disember ini, kepada pengguna kenderaan persendirian sempena sambutan Hari Krismas.
Diskaun berkenaan diberikan kepada kenderaan kelas 1, serta kenderaan kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang, di semua plaza tol di seluruh negara kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LINKEDUA).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan akan menanggung implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.
“Pemberian diskaun tol itu bertujuan meringankan beban kos perjalanan rakyat yang merancang pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama keluarga, selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk membantu rakyat merentas kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.
“Pemilihan tarikh diskaun berkenaan dibuat bagi menyuraikan aliran trafik sempena musim perayaan dan cuti sekolah, selain mengoptimumkan operasi lebuh raya termasuk di kawasan hentian serta Rehat dan Rawat (R&R),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan aplikasi TuJU Highway Navigation oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan MyPLUS-TTA, selain mematuhi jadual waktu perjalanan (TTA), had laju, papan tanda serta peraturan keselamatan di lebuh raya.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini atau sebarang insiden melalui media sosial rasmi LLM di Facebook, X (@LLMtrafik) dan TikTok (@llmtrafik), atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.
Baca juga:








