PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) menegaskan pendiriannya untuk terus konsisten mendukung kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan kekal sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu tidak pernah mengugut atau cuba menekan kerajaan sedia ada, sebaliknya memainkan peranan sebagai rakan strategik yang melengkapkan agenda pentadbiran negara sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk.
“BN tidak pernah mengugut, tidak pernah goyah, malah tetap setia sebagai rakan setia dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jangan risau soal taat setia (kami),” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti ke-17 di Butterworth.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pertemuan antara pemimpin politik tidak wajar ditafsirkan sebagai usaha menjatuhkan kerajaan.
“Kalau orang mahu jumpa kita, kita jumpa orang itu. Tidak semestinya kita buat keputusan untuk ‘tebuk atap’. BN tetap setia. Sekali setia, tetap setia,” katanya.
Beliau menekankan bahawa kesetiaan merupakan asas penting dalam sesebuah organisasi politik khususnya dalam gabungan besar seperti BN yang telah melalui pelbagai ujian sama ada ketika memegang kuasa mahupun selepas kehilangan sokongan.
Mengulas pelaksanaan dasar kerajaan, Zahid berkata, BN mahu memastikan semua janji dalam manifesto parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan dilaksanakan sepenuhnya demi kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, katanya, satu pemukiman melibatkan menteri, timbalan menteri dan kepimpinan parti-parti Kerajaan Perpaduan akan diadakan pada 10 dan 11 Januari depan bagi menilai tahap pelaksanaan manifesto khususnya berkaitan kos sara hidup, pengangguran, pendidikan dan keselamatan.








