Saifuddin belum buat keputusan tandingi Rafizi

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail belum memutuskan sama ada akan bertanding dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini.

Beliau menolak spekulasi bahawa dirinya akan mencabar penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Saifuddin menegaskan, jika keputusan telah dibuat, beliau akan mengumumkannya secara rasmi.

“Kalau saya dah buat keputusan, saya akan panggil sidang media.

“Jangan letak kata-kata itu di mulut saya… masih ada dua tiga proses lagi,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya.

Beliau juga mendedahkan pertemuan empat mata dengan Rafizi untuk membincangkan peranan masing-masing dalam memperkukuh parti.

“Saya sedar ada pihak menunggu saya buat pengumuman tapi saya belum tetapkan apa-apa. Masih terlalu awal,” katanya.

Pada masa yang sama, Saifuddin menyeru anggota parti yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan cabang agar menggunakan saluran rasmi untuk menyuarakan pandangan.

Beliau juga memberi jaminan bahawa mana-mana pemimpin yang tewas di peringkat cabang tidak akan dipinggirkan selagi mereka kekal berkhidmat dan setia kepada perjuangan parti.

Anda Mungkin Berminat