Titah Adendum Najib Tidak Sah – Hakim

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin memutuskan bahawa Titah Adendum yang dikatakan membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah adalah tidak sah kerana ia tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61.

Hakim Alice Loke Yee Ching yang mengetuai prosiding semakan kehakiman itu menolak sepenuhnya permohonan Najib untuk mendesak kerajaan dan enam pihak lain menunaikan perintah tersebut, selepas mendapati ia tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, Seksyen 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan diraja yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong sama ada mengampuni, menangguhkan atau mengurangkan hukuman bagi kesalahan tertentu.

“Kuasa prerogatif, walaupun budi bicara, mesti dilaksanakan dengan wajar dan demi kepentingan umum.

“Hujahan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak terikat untuk membuat keputusan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan tidak mempunyai asas undang-undang.

“Pandangan saya mengenai Titah Adendum ialah ia bukan perintah sah yang dibuat dalam pelaksanaan kuasa berkenaan.

“Oleh itu, haruslah disimpulkan bahawa mahkamah ini tidak boleh mengeluarkan mandamus untuk mengarahkan supaya responden mematuhi terma titah itu dengan melaksanakan tahanan di rumah.

“Selain itu, saya berpendapat bahawa perintah tahanan di rumah tidak boleh dilaksanakan. Tiada peruntukan undang-undang untuk mekanisme sedemikian di Malaysia,” katanya.

Hakim Alice turut menegaskan bahawa walaupun titah berkenaan wujud, ia tidak dikeluarkan mengikut proses perlembagaan dan undang-undang yang betul, sekali gus menjadikan ia tidak boleh dikuatkuasakan.

Susulan keputusan itu, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan.

“Kami akan mengemukakan rayuan.

“Kami telah memohon agar penghakiman awal diformalkan termasuk penyediaan penghakiman bertulis serta Rekod Rayuan disegerakan supaya perkara ini dapat dibawa ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan, yang kami anggap ianya perlu,” katanya pada sidang media.

Najib kini kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan untuk mengesahkan Titah Adendum yang dikatakan membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Beliau sedang menjalani hukuman berkait kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, selepas sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Hukuman itu kemudiannya dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Anda Mungkin Berminat