RANTAU PANJANG: Sebanyak 5,710 karton rokok seludup bernilai lebih RM950,000 termasuk cukai dirampas dalam satu serbuan di Kampung Pasir Panji dekat Tanah Merah, tiga minggu lalu.
Rahsia itu terbongkar hasil risikan selama dua minggu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan terhadap sebuah rumah kosong yang dijadikan lokasi transit
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang terpaksa memecah masuk ke dalam rumah tersebut kerana ia berkunci dan tidak berpenghuni ketika serbuan dilakukan.
“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 5,710 karton mengandungi kira-kira 1.142 juta batang rokok seludup,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Ahad.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati rumah berkenaan dipercayai dijadikan lokasi transit untuk menyimpan rokok seludup yang dibawa masuk dari negara jiran sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Sindiket ini menggunakan modus operandi menjadikan rumah kampung sebagai tempat penyimpanan sementara rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM950,070 termasuk cukai berjumlah RM771,570,” katanya.
Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, dan JKDM akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti dalang serta rangkaian sindiket penyeludupan terbabit.
Baca juga:








