Polis Selangor Tegas Tangani Isu Hina Sultan

PETALING JAYA: Polis Kontinjen Selangor menegaskan bahawa siasatan berhubung penyebaran karikatur yang didakwa menghina DYMM Sultan Selangor sedang dijalankan secara menyeluruh dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan bahawa sehingga 3 Mei 2026 pukul 5 petang, sebanyak 280 laporan polis telah diterima dari seluruh negara, menunjukkan kecaman meluas terhadap tindakan provokatif tersebut.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

“Polis menegaskan fokus utama adalah mengenal pasti dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan kerana perbuatan itu dianggap mencabar kedaulatan institusi diraja,” katanya.

Dalam kenyataan susulan pagi ini, Ketua Polis Selangor menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan agar menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa dan tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan kes.

“Sebarang perkembangan lanjut akan di maklum berdasarkan keperluan semasa,” katanya lagi.

Terdahulu, isu ini tercetus selepas satu karikatur yang mengandungi unsur penghinaan terhadap Sultan Selangor mula tular di media sosial pada 25 April lalu.

Tindakan tersebut mencetuskan kemarahan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan, individu dan masyarakat awam yang tampil membuat laporan polis.

Anda Mungkin Berminat