MAIS Gesa Tindakan Tegas Terhadap Penghinaan Sultan Selangor

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tampil mengecam keras penyebaran imej yang disunting secara tidak sopan melibatkan DYMM Sultan Selangor di media sosial.

Tindakan tersebut disifatkan sebagai penghinaan terhadap kedudukan Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dan berpotensi mencetuskan perpecahan masyarakat.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, insiden itu tidak boleh dipandang ringan.

“Rentetan daripada beberapa insiden ini, MAIS menegaskan bahawa sebarang bentuk penghinaan terhadap DYMM Sultan Selangor dan institusi beraja tidak boleh dipandang ringan.

“Justeru, MAIS menggesa agar jenayah ini disiasat dengan segera oleh pihak berwajib iaitu PDRM dan SKMM agar pelakunya dapat diheret ke muka pengadilan dan dihukum dengan hukuman yang setimpal,” tegas beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa institusi Raja-Raja Melayu adalah tonggak perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

“Dalam konteks Perlembagaan Persekutuan, kebijaksanaan institusi beraja yang memperkenan pelaksanaan dasar-dasar penting termasuk pemberian kewarganegaraan yang lebih terbuka kepada kaum minoriti haruslah sentiasa dikenang sebagai suatu simbol perpaduan antara kaum,” katanya.

Anda Mungkin Berminat