Polis tahan empat suspek kes bunuh gadis di Ketereh

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan empat individu termasuk seorang wanita warga emas bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang gadis yang ditemui di Ketereh, tengah malam semalam.

Suspek terdiri daripada dua remaja lelaki, seorang lelaki warga emas berusia antara 19 hingga 66 tahun, serta seorang wanita warga emas berusia 60 tahun. Kesemua mereka diberkas antara jam 4 petang semalam hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata tangkapan dilakukan menerusi serbuan di dua lokasi berasingan iaitu di Taman Murni dan Kampung Belukar Luas, Ketereh.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kes termasuk dua kereta, pakaian, selipar, pelapik kaki serta sebilah pisau.

“Semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing adalah negatif dadah.

“Mereka akan dibawa ke Mahkamah Kota Bharu hari ini untuk permohonan reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian tersebut, mayat seorang wanita ditemui di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh tanpa dokumen pengenalan diri. Bagaimanapun, identiti mangsa berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari dengan Jabatan Pendaftaran Negara.

Polis percaya mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat