Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Krisis gabungan parti Perikatan Nasional (PN) yang semakin parah menjadi petanda jelas kredibilit sebenar PAS dalam mengemudi parti itu di peringkat nasional.
Ia susulan, satu demi satu PN dibebani dengan peletakan jawatan pemimpin besar yang melepaskan mandat utama mereka selepas Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur diri daripada mengemudi parti itu.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Mahfuz Omar berpandangan landskap politik PN memperlihatkan senario yang bakal mewujudkan satu fasa baharu yang menuntut kejujuran politik.
“Realitinya, krisis PN tidak muncul secara tiba-tiba ia memuncak daripada kegagalan PAS mengurus krisis dalaman dan disiplin gabungan, manakala Bersatu pula memilih jalan oportunistik ketika keadaan berkecamuk,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Ini kerana katanya, drama politik Perlis menjadi bukti yang jelas apabila hanya sebuah negeri kecil yang mempunyai struktur tatakelola yang mudah namun ketika mana diterajui PAS, pentadbiran negeri itu kian merosot yang mengheret pelbagai krisis, pemecatan para pemimpin dan polemik.
“Perlis adalah bukti paling jelas. Negeri kecil, struktur mudah, kerajaan diterajui PAS.
“Namun yang berlaku ialah PAS memecat ADUN sendiri, merosot majoriti, mencetuskan krisis SD, menyeret institusi dalam polemik, dan akhirnya menolak barisan EXCO selepas perkenan Raja Adun Kuala Perlis sebagai MB.
“Kerajaan PAS tumbang bukan kerana musuh, tetapi kerana kegagalan kepimpinan PAS mengurus perbezaan dan kuasa,” ujarnya.

Pada masa yang sama katanya, rakan komponen PN iaitu Bersatu turut dilihat mengambil kesempatan dalam kekalutan yang melanda negeri itu tanpa mempamerkan kepimpinan gabungan yang matang dan bergerak secara unilateral sehingga mengheret Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain dan membiarkan PN terdedah kepada perpecahan terbuka.
“Ini bukan kepimpinan kolektif, tetapi politik menunggu peluang.
“Akibatnya, PN menjadi gabungan tanpa disiplin bersama PAS memilih konfrontasi dan dominasi Bersatu memilih oportunisme,” jelasnya.
Justeru katanya, tekanan sebegitu yang akhirnya memaksa Muhyiddin Yassin terpaksa berundur bukan dek kerana kelemahan peribadi, tetapi kerana PN gagal dikawal oleh parti yang paling dominan iaitu PAS.
Baca juga:








