PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Subang tampil dengan pendirian tegas menolak sebarang bentuk politik pengkhianatan yang didakwa mencabuli mandat rakyat serta melemahkan parti daripada dalam.
Dalam satu kenyataan, Ketua Cabang PKR Subang, Pravin Murali berkata, mandat rakyat Subang bukanlah milik peribadi Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, sebaliknya diberikan atas perjuangan PKR, lambang parti, gabungan Pakatan Harapan (PH) serta agenda reformasi yang dipimpin oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mandat rakyat Subang bukan mandat peribadi Wong Chen.
“Mandat tersebut diberikan kepada perjuangan PKR kepada lambang parti, PH dan kepada agenda reformasi yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tegas kenyataan itu.
Beliau berkata, kerusi Parlimen Subang dimenangi atas kekuatan parti, kesetiaan akar umbi, sokongan rakan PH dan keyakinan rakyat terhadap perjuangan reformasi.
Katanya, ia bukan hadiah peribadi untuk dibawa mengikut kepentingan politik sendiri.

Pravin juga berkata, rakyat Subang tidak mudah diperdaya dan sedar siapa yang menang atas tiket PH mewakili PKR serta siapa yang kini dilihat cuba menjauhkan diri daripada parti selepas menikmati mandat rakyat.
“Tindakan untuk menentang atau meninggalkan parti selepas menang atas tiket parti adalah satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
“Lebih buruk lagi, sekiranya seseorang itu masih mahu mengekalkan kerusi, kedudukan dan kemudahan sebagai Ahli Parlimen sedangkan pendirian politiknya tidak lagi bersama parti yang memberinya laluan untuk menang,” jelas kenyataan itu lagi.
Atas prinsip maruah perjuangan dan penghormatan terhadap mandat rakyat, PKR Cabang Subang mendesak Wong Chen supaya segera meletakkan jawatan dan memulangkan mandat tersebut kepada rakyat.
“Jika beliau (Wong Chen) benar-benar yakin dengan pendirian politik baharunya, maka beliau harus berani kembali kepada rakyat dan mendapatkan mandat baharu.
“Bukan terus berlindung di sebalik mandat lama yang diperoleh atas nama PKR dan PH,” kata Pravin.
Cabang Subang menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan parti, Presiden, PH dan mandat rakyat daripada sebarang bentuk pengkhianatan politik.
“Subang akan terus dipertahankan. PKR akan terus bangkit.
“Mandat rakyat tidak akan dikhianati,” tegas kenyataan itu.
Terdahulu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen memberi bayangan bahawa beliau akhirnya akan meninggalkan PKR untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) namun tidak menyatakan sama ada akan mengosongkan kerusinya sebelum pembubaran Dewan Rakyat.
“Jika saya memutuskan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum akan datang, saya akan bertanding sebagai calon Bersama,” katanya seperti dipetik Scoop.








