Bukit Bintang Berkilau, Malaysia Sambut 2026 Penuh Gaya dan Warna

BUKIT BINTANG: Sambutan Tahun Baharu 2026 diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama warga kota serta pelancong dalam suasana meriah dan penuh ceria dekat sini.

Perdana Menteri hadir bagi memeriahkan Majlis Visit Malaysia 2026 (VM2026) Countdown Festival yang berlangsung gilang-gemilang di perkarangan Pintu Utama Pavilion Bukit Bintang.

Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot; serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Ruang udara ibu negara diserikan dengan pertunjukan bunga api dan formasi dron yang memaparkan mesej Selamat Datang 2026, Welcome 2026 serta maskot Visit Malaysia 2026, Wira dan Manja, sekali gus mencuri tumpuan ribuan pengunjung.

Acara yang bermula seawal 7.30 malam itu diwarnai dengan persembahan kebudayaan, pertunjukan cahaya dan muzik, sekali gus memperlihatkan keunikan serta kepelbagaian tarikan Malaysia dalam menyambut ketibaan tahun 2026. Sambutan berkenaan turut distrim secara langsung dan disaksikan kira-kira 14 juta pelayar melalui platform digital.

Dalam teks ucapannya, Tiong King Sing berkata Malaysia menyambut Tahun Baharu 2026 dengan kemeriahan luar biasa menerusi penganjuran VM2026 Countdown Festival, yang menjadi momentum awal kepada kempen Visit Malaysia 2026.

Menurut beliau, festival berkenaan mencerminkan kesediaan negara dalam menyambut sasaran 43 juta pelawat antarabangsa.

“Festival ini menampilkan gabungan hiburan moden dan tradisional yang diserikan dengan persembahan artis tempatan dan antarabangsa seperti Shila Amzah, Aina Abdul, Belle Sisoski, Vanessa Reynauld, Kidd Santhe, The Kuans, KLP48, Nazu, Rezza Shah, Danson Ooi, Euzen dan Penny.

“Acara ini turut digamatkan dengan pertunjukan multimedia yang menakjubkan, termasuk pyromusical fireworks, formasi dron, unjuran laser dan paparan 3D anamorfik,” katanya.

Kempen VM2026 yang berlangsung sejak 26 Disember 2025 turut merangkumi pelbagai pengisian menarik seperti bazar, pameran seni dan budaya interaktif, persembahan busking serta flash mob di sekitar kawasan Bukit Bintang.

Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai hidangan menerusi VM2026 Bukit Bintang Food Bazaar yang mengetengahkan sajian tradisional dan moden.

Festival ini menonjolkan lima tonggak strategik utama, iaitu kelestarian, warisan budaya, pengembaraan berasaskan alam semula jadi, inovasi digital dan keterhubungan global, di samping menegaskan kepentingan penglibatan seluruh rakyat Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat