KPDN Aktif OPS KESAN 5.0 Kekang Aktiviti Pencatutan

PETALING JAYA: Aktiviti pencatutan kini dipantau secara lebih ketat menerusi pelaksanaan Operasi KESAN 5.0 yang bermula pada 1 Januari 2026.

Langkah itu digerakkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejajar dengan pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi tersebut dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh termasuk proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan yang telah bermula sejak 1 Julai 2025.

Menurutnya, data berkenaan akan dijadikan asas perbandingan harga sebelum dan selepas pelaksanaan SSPA.

“Pemantauan harian turut dijalankan oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN yang melibatkan sebanyak 316 item sebagai panduan untuk mengesan sebarang pergerakan harga.

“KPDN juga memperkukuh kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan, di samping menggalakkan penglibatan orang awam melalui gerakan “KITA GEMPUR” yang bertujuan membasmi manipulasi dan ketirisan,” katanya.

Bagi memastikan tindakan segera, Azman berkata, kementerian telah menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan aduan berkaitan caj, harga dan bekalan.

Beliau berkata, setiap aduan mesti disusuli tindakan penguatkuasaan dalam tempoh 24 jam dari masa ia diterima.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan melalui beberapa saluran termasuk aplikasi WhatsApp di nombor 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN di http://eaduan.kpdn.gov.my, talian Pusat Utama atau Call Centre di 1-800-886-800, serta aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

“Pelaksanaan OPS KESAN 5.0 diharap akan dapat mengesan mana-mana pihak yang membuat peningkatan harga dengan tujuan mengaut keuntungan yang berlebihan sekali gus mengekang aktiviti pencatutan ekoran pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui SSPA Fasa 2 yang telah berkuat kuasa,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa peniaga atau individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, hukuman lebih berat menanti dengan denda sehingga RM500,000.

Anda Mungkin Berminat