Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia

BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengangkat maruah kem badminton Malaysia apabila berjaya melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia malam tadi.

Gandingan ranking kedua dunia itu, yang menjadi wakil terakhir negara di peringkat suku akhir, menewaskan pasangan ranking kelapan dunia dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, dengan keputusan 21-19, 21-10 dalam perlawanan selama 34 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Kejayaan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik muncul satu-satunya wakil negara yang mara ke kelompok empat terbaik selepas dua lagi pasangan negara, iaitu beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun, tersingkir di tangan lawan masing-masing.

Lebih manis, kemenangan tersebut turut menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut Aaron-Wooi Yik kepada Sabar-Moh Reza, termasuk di final individu dan acara berpasukan Sukan SEA Thailand serta Terbuka Hylo tahun lalu.

Set pertama menyaksikan pertarungan sengit, namun sokongan padu penyokong tuan rumah memberi suntikan semangat kepada bekas juara dunia itu untuk kekal tenang sebelum mengesahkan kemenangan 21-19.

Momentum berkenaan diteruskan pada set kedua apabila Aaron-Wooi Yik menguasai permainan sepenuhnya dengan corak agresif dan pantas, mendahului jauh 11-2 sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan meyakinkan 21-10.

Di separuh akhir malam ini, mereka dijadualkan berdepan satu lagi pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, bagi merebut tiket ke pentas final.

Walaupun rekod pertemuan memihak kepada gandingan Indonesia itu dengan kelebihan 2-1, Aaron-Wooi Yik memiliki kelebihan moral selepas memenangi pertemuan terakhir pada aksi peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir BWF, bulan lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat