PELABUHAN KLANG: Cubaan menyeludup masuk seramai 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini digagalkan apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C di perairan Sungai Besar, awal pagi Sabtu.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, operasi tersebut berjaya hasil maklumat risikan daripada Ibu Pejabat Maritim Malaysia yang mengesan sebuah vesel bergerak dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 12.35 tengah malam ketika menghampiri muara Sungai Besar.
Menurut beliau, vesel terbabit enggan memberi kerjasama dan berlaku pergelutan ketika anggota penguat kuasa cuba melakukan pemeriksaan.
“Tekong bertindak terjun ke laut bagi meloloskan diri namun berjaya diberkas.
“Vesel tersebut kemudiannya tersangkut kira-kira pukul 1.00 pagi pada jarak satu batu nautika barat daya muara Sungai Besar akibat air surut,” katanya.
Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan seorang tekong bersama dua awak-awak warga Indonesia berusia antara 35 hingga 59 tahun.
Selain itu katanya, ia turut membawa 27 PATI terdiri daripada 20 lelaki dan tujuh perempuan berumur antara 22 hingga 70 tahun.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara melalui laluan tidak diwartakan dan tanpa dokumen sah, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Akta Perikanan 1985 kerana menggaji pekerja asing tanpa kebenaran.
Kesemua suspek bersama vesel ditahan dan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
Abdul Muhaimin menegaskan bahawa Maritim Malaysia komited untuk terus memperketat kawalan dan meningkatkan operasi bagi membanteras jenayah rentas sempadan di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau insiden di laut diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.








