‘Pas Tidak Layak Urus Kuasa Jika Negeri Pun Gagal Diurus’ – Mahfuz

KUALA LUMPUR: Pas tidak layak mentadbir negara sekiranya gagal menunjukkan kematangan dalam mengurus sebuah negeri kecil, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar yang merujuk kepada krisis politik yang melanda Perlis.

Mahfuz berkata, tindakan Pas menolak penyertaan dalam kerajaan negeri atas alasan ‘pengkhianatan’ bukan sahaja mencerminkan politik dendam terbuka, malah melemahkan pentadbiran negeri serta membelakangkan titah Raja Perlis.

“Jika di negeri kecil pun Pas gagal bertindak matang, bagaimana rakyat boleh yakin parti ini mampu mengurus negara yang lebih kompleks?” soalnya.

Beliau menekankan bahawa jawatan Exco bukan sekadar ganjaran politik tetapi amanah untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Penolakan Pas untuk mengisi jawatan tersebut menunjukkan parti itu gagal membezakan antara hak politik parti dan tanggungjawab kenegerian,” katanya.

Mahfuz turut menegur sikap Pas yang mendakwa komited kepada kerajaan negeri, namun dalam masa sama melumpuhkan pentadbiran.

Menurutnya, krisis di Perlis bukan lagi isu negeri semata-mata tetapi menjadi peringatan nasional bahawa rakyat tidak wajar dijadikan mangsa konflik dalaman parti.

“Malaysia tidak boleh dipimpin oleh parti yang menjadikan kuasa sebagai alat dendam dan kerajaan sebagai sandera emosi parti,” ujarnya.

Beliau berkata, jawatan exco adalah amanah dan tanggungjawab, bukan hak mutlak parti politik.

Semua parti, katanya, perlu ingat bahawa sistem demokrasi berperlembagaan berfungsi untuk rakyat, bukan untuk kepentingan politik semata-mata.

“Rakyat tidak boleh terus dijadikan tebusan kepada politik balas dendam yang tidak berkesudahan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat