KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia berpandangan pengukuhan nilai ringgit ketika ini menjadi petunjuk jelas bahawa dasar ekonomi dilaksanakan kerajaan berada pada landasan tepat serta semakin mendapat keyakinan pasaran global.
Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perkembangan positif itu bukan bersifat sementara, sebaliknya mencerminkan kekuatan asas ekonomi negara yang semakin kukuh.
Menurut beliau, prestasi ringgit yang muncul antara mata wang terbaik Asia bagi tahun 2026 turut diiktiraf media ekonomi serantau termasuk CNBC Indonesia.
“Perkembangan ini merupakan petunjuk jelas bahawa pelaksanaan dasar ekonomi oleh Kerajaan MADANI berada pada landasan yang tepat dan mula diterjemahkan melalui keyakinan pasaran global,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata, sehingga penghujung April 2026, ringgit mencatatkan peningkatan sekitar 2.64 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus meletakkan Malaysia antara negara dengan prestasi mata wang terbaik di Asia.
Katanya, pengukuhan itu didorong beberapa faktor termasuk pertumbuhan ekonomi mampan, aliran masuk pelaburan asing, kestabilan politik serta keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan dan Bank Negara Malaysia.
“Kekuatan ringgit hari ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil reformasi ekonomi yang jelas serta disiplin dalam pengurusan kewangan negara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa naratif pesimis yang dimainkan segelintir pihak tidak selari dengan penilaian komuniti kewangan antarabangsa yang melihat prospek ekonomi Malaysia secara lebih positif.
“Pengukuhan ringgit ini adalah simbol keyakinan dunia terhadap kestabilan dan masa depan ekonomi negara,” ujarnya.
Sehubungan itu, AMK menekankan keperluan untuk meneruskan momentum tersebut melalui reformasi berterusan, pengukuhan tadbir urus dan disiplin fiskal bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati seluruh rakyat.
Baca juga:








