Exco Kedah emosional – Mahfuz

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Profesor Dr Haim Hilman Abdullah didakwa berpotensi mengelirukan situasi sebenar ekonomi global.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, pandangan berhubung pengumuman kerajaan mengenai ketahanan simpanan minyak negara menunjukkan kekeliruan dalam memahami konteks krisis tenaga dunia ketika ini.

“Kenyataan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah, yang mendakwa pengumuman kerajaan tentang ketahanan simpanan minyak negara sebagai “memberi gambaran salah kepada pelabur” adalah satu kenyataan yang bukan sahaja dangkal, malah berbahaya dari sudut kefahaman ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Menurut beliau, krisis bekalan tenaga yang berlaku adalah fenomena global susulan ketegangan geopolitik serta gangguan rantaian bekalan, dan bukan isu yang terhad kepada negara semata-mata.

“Pelabur antarabangsa memahami situasi global ini berdasarkan data dan analisis, bukan sekadar kenyataan bersifat persepsi,” katanya.

Tegas beliau, strategi Kerajaan Madani dalam memaklumkan tahap kesiapsiagaan simpanan minyak negara mencerminkan ketelusan, dan bukan satu tindakan yang boleh menimbulkan panik dalam kalangan pelabur.

Jelas beliau, pendedahan maklumat berkaitan tempoh simpanan minyak adalah sebahagian daripada strategi pengurusan risiko, selain memberi ruang kepada rakyat untuk membuat persediaan sewajarnya.

Tambahnya, pelabur lazimnya menilai kestabilan dasar serta keupayaan kerajaan mengurus krisis secara konsisten, berbanding kenyataan bersifat emosional yang tidak berasaskan fakta.

Sehubungan itu, Mahfuz mengingatkan agar isu keselamatan tenaga negara tidak dipolitikkan kerana ia melibatkan kepentingan strategik serta kesejahteraan rakyat.

“Dalam situasi mencabar ini, negara memerlukan kepimpinan yang matang serta berpaksikan fakta, bukan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat