Gagal ujian negeri, tapi mahu ajar satu negara? Mahfuz perli PAS

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah, (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar mengkritik keras kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang melabelkan beberapa pihak sebagai bebal dalam usaha Kerajaan Madani menangani krisis tenaga global.

Beliau berkata, kenyataan tersebut perlu dilihat dalam konteks sebenar iaitu Kerajaan Madani sedang berusaha melaksanakan pelbagai langkah konkrit demi membantu rakyat.

“Adakah ‘bebal’ itu pada kerajaan yang bertindak atau pada pihak yang menafikan realiti dan cemas melihat kejayaan negara, Kerajaan bertindak, PAS menafikan.

“Ketika dunia berdepan krisis tenaga, kerajaan melaksanakan subsidi bersasar membantu petani, nelayan dan sektor pengeluaran menstabilkan harga menerusi intervensi, ini tindakan bukan retorik,” katanya.

Sebaliknya, Mahfuz menyatakan bahawa PAS hanya menjerit di pentas dan menuduh kerajaan tanpa memberikan sebarang solusi.

“Jika memberi bantuan kepada rakyat pun dianggap salah, itu bukan lagi kritikan tetapi kebingungan,” ujar Mahfuz.

Tegas beliau, ketika mana pencapaian kerajaan semakin jelas dengan ekonomi yang stabil, bantuan sampai kepada rakyat, pelaburan asing yang masuk maka akan wujudnya naratif yang menyatakan tindakan itu semua salah, gagal malah bebal.

Lebih ironi lagi katanya, PAS yang begitu lantang mengecam tindakan Kerajaan Madani masih kekal bergelut dengan konflik asas negeri itu sehingga terpaksa bergantung kepada peruntukan oleh Kerajaan Pusat.

“Belum lulus ujian negeri, sudah mahu jadi pensyarah negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa krisis tenaga dunia dipacu oleh geopolitik global yang memberi kesan kepada semua negara, maka dengan itu Kerajaan MADANI giat mengambil langkah realistik dengan melindungi rakyat secara bersasar.

“PAS guna isu untuk politikkan emosi tanpa pelan konkrit, bezanya jelas MADANI bekerja dan PAS berceramah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat