PETALING JAYA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas pencapaian bersejarah dalam memperkukuh representasi wanita dalam kepimpinan sektor pendidikan negara.
Setiausaha Wanita PKR, Sangetha Jayakumar menyifatkan pelantikan empat Pengarah Pendidikan Negeri wanita serta pencapaian bahawa sembilan daripada 18 Ketua Bahagian di KPM kini terdiri daripada wanita sebagai satu isyarat jelas bahawa prinsip kesaksamaan gender dan kepimpinan berasaskan merit sedang diterjemahkan secara nyata dalam struktur tadbir urus negara.
Menurut beliau, langkah itu turut dilihat sejajar dengan aspirasi global di bawah kerangka ‘Sustainable Development Goals’ (SDG 5: Gender Equality) dan prinsip ‘gender-responsive leadership’ yang menekankan bahawa penglibatan wanita dalam proses membuat keputusan bukan sahaja meningkatkan kualiti dasar awam, malah memperkukuh ketahanan institusi, keadilan sosial serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Wanita PKR percaya bahawa kepimpinan wanita membawa perspektif holistik, empati dasar, dan keupayaan bekerja sebagai satu pasukan yang padu dalam membina ekosistem pendidikan yang progresif, selamat dan melakar satu hala tuju yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau turut berkata, pencapaian itu membuktikan transformasi struktur tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya memerlukan keberanian politik (political will), visi yang jelas serta komitmen berterusan terhadap agenda reformasi dan keadilan sosial.
Sehubungan itu katanya, Wanita PKR menggesa agar momentum ini diteruskan dan diperluaskan ke semua sektor kepimpinan awam dan politik agar Malaysia terus melangkah sebagai sebuah negara yang mempraktikkan kepimpinan inklusif, peluang saksama dan tadbir urus berteraskan nilai kemanusiaan.
“Sesungguhnya, pengalaman ini mengesahkan satu kebenaran penting dalam pembangunan negara.
“Apabila wujud kemahuan politik yang tulen, maka jalan penyelesaian sentiasa dapat dibina dan bukan sahaja untuk hari ini tetapi demi masa depan yang lebih adil dan mampan,” katanya.








