Pengangguran Negara Terendah Dalam 11 Tahun – Tunku Nashrul

PUTRAJAYA: Kadar pengangguran negara mencatat paras terendah dalam tempoh 11 tahun iaitu 2.9 peratus, sekali gus mencerminkan prestasi ekonomi yang semakin kukuh dan pasaran pekerjaan yang stabil.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat.

Menurut beliau, pencapaian berkenaan memberi isyarat positif terhadap keupayaan ekonomi negara untuk terus menyokong peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat, selari dengan usaha pemulihan dan pembaharuan ekonomi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI.

“Landskap ekonomi makro negara menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila kadar pengangguran berada pada paras terendah dalam tempoh 11 tahun iaitu 2.9 peratus,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tunku Nashrul turut memaklumkan bahawa Jabatan Perangkaan Malaysia mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 berkembang sebanyak 5.7 peratus, sekali gus membawa pertumbuhan keseluruhan tahun kepada sekitar 4.9 peratus, mengatasi unjuran rasmi kerajaan.

Beliau berkata, kestabilan ekonomi domestik itu disokong oleh langkah penyesuaian dasar, pengukuhan hubungan perdagangan antarabangsa serta pendekatan bantuan dan subsidi yang lebih bersasar bagi melindungi kebajikan rakyat.

Pada masa sama katanya, kerajaan kekal komited mengurangkan kos sara hidup melalui pelaksanaan inisiatif bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM15 bilion bagi tahun ini.

Anda Mungkin Berminat