PETALING JAYA: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyambut baik Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang tepat pada masanya, realistik serta berpandangan jauh dalam menghadapi ketidaktentuan landskap global.
Pengerusi LPP Datuk Mahfuz Omar berkata amanat tersebut meletakkan isu makanan bukan sekadar pengeluaran atau kebajikan rakyat, sebaliknya sebagai teras keselamatan negara dan kestabilan sosial, sejajar dengan cabaran perubahan iklim, sekatan eksport serta ketegangan geopolitik dunia.
“Makanan hari ini bukan lagi sekadar komoditi ekonomi, tetapi aset strategik keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Mahfuz berkata, langkah yang digariskan oleh Menteri termasuk pengukuhan industri padi dan ruminan, pemerkasaan industri hiliran, pelaksanaan pendekatan reverse investment serta penambahbaikan infrastruktur pertanian merupakan asas penting ke arah memperkukuh kedaulatan makanan negara.

Bagaimanapun, beliau berpandangan agenda tersebut perlu dilaksanakan dalam kerangka yang lebih luas merangkumi pembinaan kedaulatan sistem makanan negara secara menyeluruh, dan tidak hanya diukur berdasarkan peningkatan hasil atau kadar sara diri.
“Tanpa kawalan ke atas sistem makanan, kedaulatan yang dicapai berisiko bersifat sementara,” jelasnya.
Dalam konteks itu, Mahfuz menegaskan pendekatan ‘reverse investment’ wajar diperkukuh sebagai sebahagian daripada portfolio keselamatan makanan nasional, khususnya melibatkan input kritikal seperti benih, baja dan makanan ternakan, sebagai langkah penampan strategik daripada ketidaktentuan pasaran global.
Beliau turut mencadangkan agar pendekatan berkenaan dimanfaatkan untuk menggalakkan penyertaan syarikat tempatan sebagai rakan strategik dalam rantaian bekalan makanan global, sekali gus membolehkan pemindahan kepakaran, modal serta pulangan pelaburan yang dapat memperkukuh ekosistem agromakanan negara.

Mahfuz turut menekankan bahawa kejayaan pengukuhan industri padi dan ruminan perlu dinilai bukan sahaja dari segi hasil, tetapi juga kestabilan pendapatan serta kesejahteraan petani, penternak dan nelayan.
“Negara tidak boleh dianggap berdaulat jika pengeluar makanannya sendiri hidup dalam ketidaktentuan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pemantapan industri hiliran dan infrastruktur pertanian perlu memberi tumpuan kepada pembinaan daya tahan sistem, termasuk pengurangan pembaziran makanan, pengukuhan rantaian logistik serta penggunaan data bersepadu bagi membolehkan tindakan awal diambil sebelum krisis berlaku.
Secara keseluruhan, Mahfuz menyifatkan amanat berkenaan sebagai satu hala tuju yang jelas dan kukuh, namun menegaskan cabaran utama adalah memastikan pelaksanaan yang berdisiplin, berpaksikan hasil serta disokong oleh penyelarasan rentas agensi yang berkesan.
Beliau yakin dengan komitmen berterusan kerajaan serta penglibatan semua pihak dalam ekosistem agromakanan, agenda memperkukuh kedaulatan makanan mampu menjadi asas kepada daya tahan negara yang sebenar dan berkekalan demi kesejahteraan rakyat serta generasi akan datang.
Baca juga:








