PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih pendekatan penuh seni dan budaya apabila menyampaikan ucapan sempena Hari Ibu dengan bait pantun yang sarat makna kasih dan penghargaan.
Dalam satu hantaran di Facebook beliau, Anwar menzahirkan rasa hormat terhadap pengorbanan seorang ibu dengan pantun empat kerat.
“Burung melayang di puncak angkasa,
Hinggap sebentar di pohon jati,
Kasih ibu berkalung jasa,
Menjadi azimat terangi hati.
Pantun itu diakhiri dengan ucapan ringkas namun penuh makna iaitu “Selamat Hari Ibu!”
Untuk info, Hari Ibu disambut setiap tahun pada minggu kedua bulan Mei sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan seorang ibu dalam membesarkan anak-anak serta membentuk masyarakat.
Dengan memilih pantun sebagai medium, Anwar berkata, kasih ibu adalah ‘azimat terangi hati’, satu gambaran bahawa pengorbanan ibu menjadi sumber kekuatan dan cahaya dalam kehidupan.
Dalam konteks budaya, pantun itu juga memperlihatkan usaha kepimpinan untuk mengekalkan warisan bahasa sambil menyampaikan mesej nasional yang penuh makna.








