Ekonomi gelap ditangani walaupun ambil masa – Anwar

PARLIMEN | Isu ekonomi gelap dan ketirisan yang berlaku sejak puluhan tahun kini ditangani oleh Kerajaan MADANI secara bersistem dengan penguatkuasa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lain-lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah tersebut diambil aktif sejak kerajaan perpaduan mengambil alih pentadbiran sejak dua tahun lalu.

“Beberapa isu seperti komisen atau ekonomi gelap memang ditangani secara keras, pertama kali sejak dua tahun lalu bersama penguatkuasa, LHDN, AMLA (Akta Pencegahan Wang Haram), SPRM, kastam kerana beberapa kelompok kartel seperti di Pelabuhan Klang yang menyebabkan penyeludupan tinggi terbiar selama berpuluh tahun, mengikut rekod.

“Tapi sekarang sudah diambil, namun kerana sistem bobrok dan agak sistemik, ia mengambil masa dan saya ambil serius teguran Yang Berhormat dan beri jaminan supaya kita dapat lapor kepada parlimen dengan langkah diambil,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab kepada Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang memetik The Heritage Foundation mengenai langkah-langkah boleh diambil oleh Kerajaan terhadap syarikat swasta serta ekonomi gelap sebanyak RM1.88 bilion.

Anwar turut menambah laporan yang dipetik oleh Wan Saiful juga tidak boleh diambil secara sembrono kerana ia berat sebelah.

“Cuma kalau laporan Heritage Foundation iaitu ‘new conservative” iaitu far right boleh kita teliti, tiada masalah tapi kita kena faham sifat mereka itu sangat prasangka kepada Islam, sangat prasangka terhadap negara-negara membangun.

“Tetapi teguran terhadap kerenah birokrasi, plat ekonomi dan juga penyeludupan itu sangat saya hargai,” ujarnya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat