PETALING JAYA: Pendedahan kanak-kanak seawal enam tahun kepada persekitaran pembelajaran berstruktur diyakini mampu menyediakan asas kukuh untuk pembelajaran sepanjang hayat.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, dasar baharu reformasi pendidikan Kerajaan MADANI yang membenarkan murid berusia enam tahun memasuki darjah satu adalah sejajar dengan amalan global, sekali gus menempatkan Malaysia seiring dengan 143 negara lain yang telah lama melaksanakannya.
Beliau berkata, langkah itu juga dapat membantu ibu bapa yang bekerja dalam menghadapi kos penjagaan anak yang semakin meningkat.
“Seperti yang dilaporkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pada tahun 2019, kos penjagaan dan pendidikan awal anak-anak yang tinggi dikesan antara penyumbang beban kewangan pasangan muda berusia di antara 20 hingga 40 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Nurul Izzah menekankan bahawa pelaksanaan dasar itu mesti mengambil kira kesediaan prasarana dan tenaga pengajar khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman serta Sabah dan Sarawak.
“Tanpa pendekatan berbeza mengikut konteks setempat, risiko ketidaksamaan akses dan kualiti pendidikan awal berkemungkinan akan terus melebar,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa peralihan murid enam tahun ke darjah satu secara sukarela berpotensi meningkatkan jumlah murid dalam tempoh singkat, sekali gus menuntut perancangan teliti.
Dalam kenyataan sama, Nurul Izzah berkata, kepentingan pendedahan awal terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sekolah kebangsaan.
“Inisiatif pendedahan awal kepada TVET di sekolah kebangsaan amat penting dan perlu diberi penekanan seawal mungkin.
“Ia menepati fenomena ‘the lost boys’, seperti yang dilaporkan oleh UNICEF pada tahun 2023, di mana fenomena ini menyebabkan jurang jantina ketika tamat pengajian sekolah, apabila jumlah murid perempuan lebih tinggi melepasi pengajian sekolah berbanding lelaki pada peringkat menengah,” katanya lagi.
Beliau memetik statistik tahun 2025 yang menunjukkan 53.56 peratus lepasan SPM memilih laluan TVET.
“Pendedahan awal TVET di sekolah rendah dan menengah bukan sahaja membina asas kemahiran tetapi juga menangkap minat murid sedari awal dan memastikan kesinambungan kurikulum sehingga ke alam pekerjaan yang lebih bersesuaian dengan kehendak industri,” jelasnya.
Beliau turut membandingkan dengan negara maju seperti Jerman dan Finland yang telah lama menekankan pembelajaran berasaskan kemahiran sejak sekolah rendah.
“Negara seperti Jerman dan Finland telah lama memantapkan sesi pembelajaran berasaskan kemahiran dan aplikasi dunia sebenar sejak peringkat sekolah rendah dengan penekanan kepada eksplorasi minat, literasi kerja dan pembinaan asas kemahiran,” katanya.
Beliau menegaskan impak pendekatan itu terbukti meningkatkan penglibatan murid dan mengurangkan risiko keciciran di peringkat menengah.
Nurul Izzah turut memuji langkah Kerajaan MADANI yang meletakkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai peneraju tunggal sistem pendidikan pra-universiti termasuk Tingkatan Enam dan matrikulasi, mulai tahun 2027.
“Ianya merupakan langkah yang baik bagi perancangan jangka panjang.
“Perubahan ini akan membolehkan penempatan di universiti awam menjadi lebih inklusif dengan keberkesanan sumber dan bakat yang ada.
“Ternyata, pendidikan perlu dipandu oleh kompas moral yang kukuh.
“Pelaksanaan pelan tentang peri penting etika, integriti, empati dan tanggungjawab sosial dalam membentuk teras pengajaran dan pembelajaran dapat memastikan kecemerlangan akademik berjalan seiring dengan pembentukan sahsiah,” ujarnya.








