Silat Angkat Martabat Peradaban Melayu – Anwar

ALOR SETAR: Warisan silat sebagai seni mempertahankan diri dan falsafah kehidupan kembali diangkat melalui Himpunan Gema Pendekar MADANI Zon Utara 2026 serta Kejuaraan Silat Terbuka Piala Pendekar Utama Negara Dato’ Dr Raja Abdul Majid, yang berlangsung meriah dengan penyertaan pesilat dari seluruh negara.

Majlis itu bukan sekadar pertandingan tetapi menjadi wadah memperkukuh jati diri bangsa, menyemarakkan semangat persaudaraan, dan menzahirkan kekayaan peradaban Melayu yang berakar dalam sejarah serta nilai luhur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya berkata, silat adalah madrasah pembentukan insan yang mendidik kekuatan dengan kesabaran, keberanian dengan kebijaksanaan serta ketegasan yang berpaksikan adab, akhlak dan ihsan.

“Silat bukan sekadar seni mempertahankan diri atau medan persaingan fizikal.

“Ia merupakan madrasah pembentukan insan yang mendidik kekuatan dengan kesabaran, keberanian dengan kebijaksanaan serta ketegasan yang berpaksikan adab, akhlak dan ihsan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa penglibatan aktif golongan belia dalam dunia persilatan wajar terus diperkasa bukan hanya sebagai pewaris tradisi tetapi sebagai generasi yang memahami makna disiplin, menghargai nilai kemanusiaan serta berupaya mengangkat martabat budaya bangsa dalam konteks zaman yang semakin mencabar.

“Pendekar MADANI adalah satu amanah besar untuk mengangkat martabat bangsa melalui penguasaan ilmu baharu tanpa mengorbankan nilai, adab dan warisan.

“Ia menjadi wahana pembinaan insan yang seimbang, penyatuan masyarakat yang berteraskan saling hormat serta pemerkasaan jati diri Melayu yang berakar pada sejarah, akhlak dan peradaban,” kata beliau.

Anda Mungkin Berminat