PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkatkan tahap kesiapsiagaan susulan laporan penularan jangkitan virus Nipah di India dengan langkah proaktif bagi memastikan keselamatan rakyat dan negara terus terpelihara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keselamatan rakyat adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
“Saya mengambil maklum laporan mengenai penularan jangkitan virus Nipah di India.
“Susulan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang memantau situasi secara proaktif dan berhubung terus dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi menentusahkan data epidemiologi terkini.
“Ingin saya tegaskan, keselamatan rakyat dan negara adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi,” katanya.
Menurut beliau, KKM telah meningkatkan tahap kawalan di semua pintu masuk antarabangsa negara dengan pemantauan kesihatan yang lebih ketat terhadap pengembara.
Protokol tindakan pantas turut disediakan bagi individu bergejala, manakala Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk diaktifkan pada bila-bila masa.
Dr Dzulkefly turut menekankan pendekatan ‘One Health’, yang memantau rantaian antara manusia, haiwan dan alam sekitar sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan penularan penyakit.
“Saya ingin meredakan kegusaran awam. Setiap langkah yang diambil KKM adalah berpandukan sains dan penilaian risiko (evidence-based), bukan khabar angin.
“Yakinlah bahawa sistem kesihatan awam kita adalah teguh (robust), teruji dan bersedia melindungi anda.
“Dapatkan info sahih, elak sebar berita palsu!” katanya lagi.







