Terima Kasih PM, Pesawah Kini Lebih Lega – Mohamad Sabu

PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pengumuman pemberian pendahuluan sebanyak RM200 sehektar di bawah Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP).

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman pemberian pendahuluan sebanyak RM200 sehektar di bawah IPKP kepada pesawah yang bakal memulakan musim penanaman padi 1/2026,” katanya.

Beliau berkata, dengan bantuan tersebut kerajaan mahu memastikan pesawah tidak lagi terbeban dengan keperluan modal awal.

“Sebelum ini, pesawah perlu mengeluarkan modal sendiri terlebih dahulu dan hanya boleh membuat tuntutan IPKP selepas kerja-kerja pembajakan selesai.

“Namun dengan pengumuman ini, pesawah akan menerima bayaran pendahuluan lebih awal yang diharap dapat meringankan beban kewangan mereka serta memastikan persediaan musim penanaman dapat dilaksanakan dengan lebih lancar,” katanya.

Beliau berkata, pengumuman itu membuktikan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa mendengar keluhan dan mengambil kira pandangan pesawah di peringkat akar umbi.

“Kerajaan juga komited untuk terus menambah baik pendekatan sedia ada agar kebajikan pesawah sentiasa terpelihara, selaras dengan usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan kementerian untuk memuktamadkan segera proses pelaksanaan bayaran agar pendahuluan dapat disalurkan tanpa kelewatan.

“Pendahuluan ini akan membantu pesawah membuat persiapan awal musim dengan lebih baik,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat