Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Menjelang sambutan Hari Thaipusam ini, Kerajaan Madani bakal memberi pelbagai pada inisiatif, perkhidmatan dan program buat rakyat di Pulau Pinang pada 1 Februari depan.
Menerusi kenyataan media pada Rabu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meraikan perayaan itu dengan menyediakan kemudahan ruang rehat percuma serta pelbagai perkhidmatan kepada para pengunjung di George Town, Pulau Pinang.
“KUSKOP akan membuka reruai perkhidmatan sepanjang sambutan Thaipusam dengan penyertaan sembilan agensi di bawah KUSKOP termasuklah TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp. Malaysia serta UDA Holdings,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, antara perkhidmatan lain yang ditawarkan adalah penyaluran maklumat pembiayaan perniagaan, latihan dan bimbingan keusahawanan, pendaftaran usahawan serta
khidmat nasihat berkaitan koperasi di samping kemudahan seperti ruang rehat, saringan kesihatan percuma, ruang penyusuan bayi dan pengagihan makanan percuma.

Selain itu, seramai 200 sukarelawan Wira KUSKOP akan digerakkan bagi membantu pengurusan orang ramai serta menghulurkan bantuan kepada warga emas, kanak- kanak dan OKU.
“Sukarelawan ini terdiri daripada belia di Pulau Pinang berumur 17 hingga 30 tahun yang terdiri daripada pelbagai kaum,” ujarnya.
Dalam pada itu terdapat perkhidmatan ruang rehat percuma dan selesa akan disediakan di khemah utama KUSKOP MADANI.
Difahamkan, ruang itu mampu menampung sehingga 200 orang pada satu-satu masa dengan anggaran sekitar 1,500 orang dapat memanfaatkan kemudahan ini sepanjang hari sambutan di samping kemudahan lain seperti saringan kesihatan percuma serta ruang penyusuan bayi.
Ruang rehat itu turut dikhususkan kepada petugas barisan hadapan, warga emas, ibu, kanak-kanak, OKU serta penganut yang keletihan atau kurang sihat.
Kemudahan tersebut turut dilengkapi dengan penyediaan minuman dan makanan percuma oleh pihak KUSKOP.
Selain itu, KUSKOP memaklumkan bahawa Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) akan terus diperkukuhkan dengan peningkatan dana tambahan daripada Kerajaan Madani yang bermula daei RM30 juta kepada RM50 juta bagi menyokong pembangunan keusahawanan masyarakat India.
“Bagi tahun 2026, SPUMI telah menyalurkan sebanyak RM4.089 juta kepada 136 usahawan masyarakat India.
“Melalui inisiatif ini, KUSKOP komited dalam memberi capaian modal selari dengan strategi ABCD yang diperkenalkan oleh KUSKOP,” jelasnya.
Baca juga:








