Tentera Darat Perlu Kekal Profesional, Disegani – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Tentera Darat Malaysia mesti terus kekal sebagai institusi yang berwibawa, profesional dan disegani rakyat.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat yang baharu, Jeneral Datuk Azhan Md Othman pada Khamis.

Pertemuan itu membincangkan peranan strategik Tentera Darat sebagai benteng pertahanan negara dan sandaran harapan rakyat.

Menurut Anwar, kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan tidak boleh dibina hanya melalui slogan semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh dengan disiplin profesionalisme, akauntabiliti dan integriti yang konsisten di setiap lapisan pentadbiran dan operasi.

“Dalam konteks cabaran semasa termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah yang boleh mencalar imej institusi, tiada kompromi terhadap pelanggaran amanah.

“Ketelusan, kejujuran dan keberanian diperlukan untuk membersihkan kelemahan demi memelihara maruah Angkatan Tentera Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Anwar turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus mendukung usaha Tentera Darat untuk kekal sebagai pasukan yang berwibawa, selaras dengan harapan rakyat.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan menjaga kebajikan pegawai, anggota, keluarga serta para veteran agar mereka sentiasa diberi perhatian sewajarnya dalam setiap dasar dan program kerajaan.

Dalam pertemuan tersebut, Jeneral Azhan turut berkongsi pelan strategik Tentera Darat bagi memperkukuh kesiapsiagaan pasukan dalam menghadapi cabaran keselamatan moden serta memastikan setiap operasi dijalankan mengikut standard profesional tertinggi.

Anda Mungkin Berminat