Kemasukan Awal Darjah Satu: Pelaburan Jangka Panjang Pendidikan Awal Negara – Pakar

KOTA KINABALU: Dasar kerajaan yang membenarkan kanak-kanak berumur enam tahun memasuki Darjah Satu secara sukarela mulai 2027, seperti digariskan dalam Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035, perlu dinilai dan dilaksanakan secara berhati-hati bagi memastikan ia benar-benar menyokong perkembangan kanak-kanak secara holistik, khususnya di Sabah.

Pensyarah kanan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Juppri Bacotang berpandangan bahawa dasar tersebut berpotensi memperkukuh sistem pendidikan awal kanak-kanak (PAKK) negara ke arah lebih seragam dan berkualiti dalam jangka panjang, namun pelaksanaannya tidak boleh bersifat tergesa-gesa atau satu pendekatan untuk semua.

Menurutnya, realiti pendidikan di Sabah menunjukkan jurang kesediaan yang ketara antara kanak-kanak di kawasan bandar dengan luar bandar serta pedalaman, terutama dari segi akses kepada pendidikan prasekolah berkualiti.

Keadaan itu berisiko mewujudkan ketidaksaksamaan baharu sekiranya kemasukan awal ke Darjah Satu lebih memihak kepada kanak-kanak yang telah menerima rangsangan akademik dan sosioemosi sejak awal.

“Dalam hal ini, konsep kemasukan secara “sukarela” perlu diperjelaskan agar tidak disalah tafsir oleh ibu bapa sebagai satu kewajipan atau ukuran kecerdasan kanak-kanak. Keputusan kemasukan awal, katanya, seharusnya dibuat berdasarkan penilaian kesediaan yang menyeluruh merangkumi aspek kognitif, emosi, sosial dan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Menurutnya, pendekatan pedagogi berasaskan learning through play turut disifatkan sebagai elemen penting yang perlu dikekalkan dalam pelaksanaan dasar ini, memandangkan kaedah pembelajaran melalui bermain terbukti menyokong perkembangan kanak-kanak secara holistik dan membentuk sikap positif terhadap pembelajaran.

Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa banyak sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah masih berdepan kekangan dari segi bilangan guru terlatih, kemudahan pembelajaran serta sokongan profesional.

“Tanpa persediaan rapi, kemasukan murid yang lebih muda ke persekitaran sekolah formal berisiko menyebabkan tekanan emosi dan keletihan pembelajaran.

“Pelaksanaan dasar tersebut juga menimbulkan persoalan berkaitan kesiapsiagaan sekolah, termasuk keperluan menambah bilangan guru terlatih dalam PAKK serta pembukaan kelas baharu bagi mengelakkan saiz kelas yang terlalu besar,” ujarnya.

Nisbah murid-guru yang tidak ideal, menurutnya, boleh menjejaskan kualiti pengajaran dan perhatian individu, khususnya kepada murid enam tahun yang memerlukan sokongan intensif.

Dari sudut kewangan, dasar ini memerlukan perancangan jangka panjang yang rapi merangkumi peruntukan bagi pengambilan guru baharu, penyediaan infrastruktur, bahan pengajaran bersesuaian serta latihan profesional berterusan. Tanpa sokongan sumber mencukupi, wujud risiko dasar tersebut dilaksanakan secara terburu-buru, terutama di sekolah yang sedia berdepan pelbagai kekangan.

“Pelaburan dalam pendidikan awal perlu dilihat sebagai pelaburan strategik jangka panjang yang mampu memberi pulangan sosial dan ekonomi tinggi, termasuk mengurangkan keciciran pendidikan serta membentuk modal insan berkualiti,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan disaran memastikan peluasan akses kepada pendidikan prasekolah berkualiti, memperkukuh latihan guru PAKK, menambah bilangan guru serta menyediakan kemudahan infrastruktur mencukupi sebelum dasar tersebut dilaksanakan secara meluas.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat