WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan di Texas telah mengarahkan pembebasan segera seorang kanak-kanak berusia lima tahun, Liam Conejo Ramos, bersama bapanya, Adrian Alexander Conejo Arias, dari pusat tahanan imigresen di Dilley, Texas.
Mereka ditahan lebih seminggu selepas pegawai imigresen menahan keluarga itu di Columbia Heights, Minnesota, ketika Liam baru pulang dari prasekolah.
Penahanan tersebut mencetuskan kecaman awam apabila video yang memaparkan Liam dengan beg sekolah Spiderman dan topi arnab menjadi tular, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pendekatan penguatkuasaan imigresen terhadap keluarga dengan anak kecil.
Hakim Persekutuan Fred Biery dalam keputusannya menyifatkan tindakan menahan kanak-kanak kecil sebagai berpunca daripada dasar yang ‘tidak dirancang dengan baik dan dilaksanakan secara tidak cekap’.
Beliau berkata, penahanan demi memenuhi kuota deportasi adalah tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan prinsip asas keadilan.
Arahan mahkamah menetapkan pembebasan mesti dilakukan secepat mungkin, selewat-lewatnya pada 3 Februari 2026.
Adrian Conejo Arias, bapa kepada Liam, mempunyai tuntutan suaka yang masih diproses, membolehkan beliau kekal di Amerika Syarikat sementara kes tersebut berjalan.
Peguam keluarga menekankan bahawa pengalaman ditahan telah memberi kesan trauma kepada Liam dan berharap proses tuntutan suaka dapat diteruskan dengan lebih adil.








