Konsert Inteam Nur Kasih jadi malam penuh penghayatan solidariti Gaza, dakwah

Oleh: Tyah Helmi

MALAYSIA menyaksikan malam yang penuh evolusi buat genre nasyid negara ketika Konsert Inteam 2026:Nur Kasih dipenuhi bait-bait lagu penuh penghayatan Islam, solidariti buat Gaza serta pemerkasaan dakwah Islam di Malaysia.

Konsert itu dilaksana bersempena ulang tahun ke-25 kumpulan nasyid legenda negara, Inteam yang dianggotai oleh Mohd Syahril Abdul Khalid, Hisyam Ahmad, Abdul Rahim Osman dan Hazamin Harun.

Tepat jam 9 malam, konsert yang dimulakan dengan alunan selawat dan tasbih ke atas Nabi Muhammad S.A.W serta puji-pujian ke atas Allah S.W.T oleh barisan penyanyi cilik dan anak-anak muda sebelum Inteam memunculkan diri pentas Axiata Arena.

Lebih ribuan peminat daripada pelbagai lapisan usia yang memenuhi ruang arena bagi mendengar sendiri secara langsung persembahan nasyid dan laungan selawat oleh Inteam selama hampir tiga jam lamanya.

Inteam dengan pembukaan persembahan ikoniknya melontarkan bait lagu ‘Dia Muhammad’ yang membuatkan seluruh peminat syahdu dan diikuti dengan lagu Kasih-Kekasih sekaligus memberi makna tentang nilai kemanusiaan dan spiritual.

Sepanjang konsert, lebih 26 buah lagu dipersembahkan termasuk karya ikonik seperti Siti Khadijah, Rabiatul Adawiyah serta medley Kasihku Abadi, Ratu Syahadah dan Satukan Kami Di Syurga yang mendapat sambutan luar biasa.

Inteam memberi bukti bahawa nasyid tidak akan ditelan dek zaman apabila lagu ‘Ya Rabbi Rabb’ dan ‘Tiada Tarikh Tamat’ mula dimainkan dengan bernada rancak diselangi dengan rap yang begitu mantan didengari.

Diserikan lagi dengan kehadiran Puteri Sumud iaitu Zizi Kirana yang menggamit nostalgia nasyid negara di saat menyampaikan lagu “Wahsini” dan bertambah sebak lagi apabila solidariti buat Gaza turut ditonjolkan dengan nyanyian ‘Perang Dah Tamat’.

Penonton turut bersorak gembira apabila penyanyi nasyid legenda negara iaitu Ustaz Nazrey Johani yang majoriti dikenali sebagai pelantun kumpulan Raihan berkolaborasi bersama Inteam menerusi lagu ‘Kehidupan’ dan ‘Puji-Pujian’.

Manakala, di tengah-tengah klimaks malam Konsert 2026 buat Inteam itu turut dimeriahkan dengan penganjuran cabutan bertuah yang menawarkan variasi hadiah yang mengujakan iaitu pakej tajaan umrah, baucar haji bernilai RM5,000, beberapa motosikal dan barangan berkaitan dengan amalan mengerjakan haji dan umrah.

Kemudian persembahan Inteam menyaksikan legenda muzik tanah air, Datuk M. Nasir, menyuntik elemen magis dengan lagu “Perjalanan 2 dan Bonda”, sekali gus menerima sorakan gemuruh daripada penonton yang teruja dengan kolaborasi bersejarah itu.

Konsert yang penuh emosi, penghayatan, kesedaran telah melabuhkan tirai dengan penuh kesyahduan menerusi lagu meninggalkan kesan mendalam serta kenangan manis yang pastinya akan terpahat dalam ingatan peminat.

Konsert ini membuktikan bahawa muzik nasyid bukan sahaja mampu bertahan, malah terus berkembang sebagai wadah seni yang menyatukan hiburan, dakwah dan nilai kemanusiaan dalam satu persembahan bertaraf nasional.

Tidak dilupakan juga apabila Inteam menyumbangkan RM10,000 kepada Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Inisiatif itu memberi cerminan bahawa peranan seni bukan sekadar menghiburkan tetapi menyuburkan kesedaran dan nilai kemanusian buat golongan yang berkemampuan di luar sana.

Justeru, dalam sebuah ucapan di malam itu, anggota Inteam, Rahim, meluahkan rasa syukur atas kejayaan menganjurkan konsert di Axiata Arena yang disifatkan sebagai satu pencapaian besar dalam sejarah kumpulan itu.

Beliau menyifatkan malam tersebut sebagai simbol kepercayaan dan sokongan peminat terhadap perjuangan seni nasyid di Malaysia.

Konsert Inteam tersebut memberi membuktikan bahawa muzik nasyid kian berevolusi dengan disematkan dengan kepelbagaian elemen selagi ia tidak bercanggah dengan syariat Islam yang sebenar sebagai wadah seni yang menyatukan ‘halwa telinga’ atau hiburan bersama dakwa dan nilai kemanusian bertaraf nasional.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat