Israel bunuh lagi 23 rakyat Palestin

Oleh: Tyah Helmi

GAZA: Sekurangnya-kurangnya 23 rakyat Palestin terbunuh dalam siri serangan tentera haram Israel di seluruh Sememanjung Gaza.

Berdasarkan sumber perubatan yang dipetik Al Jazeera, beberapa kanak-kanak termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun menjadi korban dalam serangan paling berdarah sejak gencatan senjata diumumkan pada Oktober lalu.

Manakala di bahagian utara Gaza, sekurang-kurangnya 14 orang dilaporkan mati syahid akibat serangan artileri Israel di kawasan kejiranan Tuffah dan Zeitoun di Bandar Gaza.

Sementara itu di selatan, empat lagi terkorban apabila serangan menyasarkan khemah yang menjadi tempat perlindungan oleh penduduk pelarian di kawasan Qizan Abu Rashwan, selatan Khan Younis.

Seterusnya, terdapat dua lagi mangsa dilaporkan maut dalam serangan udara di kem khemah pesisir pantai al-Mawasi.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan seorang mangsa ialah petugas kecemasan, Hussein Hasan Hussein al-Sumairy, yang sedang menjalankan tugas kemanusiaan ketika serangan berlaku.

Wartawan Al Jazeera di Khan Younis, Tareq Abu Azzoum, melaporkan beberapa kediaman awam di Bandar Gaza menjadi sasaran secara langsung tanpa sebarang amaran awal.

Beliau berkata, serangan berterusan itu berlaku walaupun gencatan senjata yang dimediasi Amerika Syarikat dikatakan masih berkuat kuasa.

“Tiada langsung rasa kelegaan buat penduduk Gaza.

“Aktiviti ketenteraan Israel meningkat dengan ketara sejak beberapa jam lalu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, rejim haram Israel memaklumkan serangan tersebut dilakukan selepas seorang pegawai simpanan mereka cedera parah akibat tembakan ketika menjalankan operasi rutin berhampiran ‘garisan kuning’, iaitu kawasan sempadan yang berada di bawah kawalan tentera Israel.

Sementara itu, pemindahan perubatan melalui lintasan Rafah turut dilaporkan digantung, sekali gus memburukkan lagi keadaan kemanusiaan penduduk Gaza yang semakin terdesak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat