TELUK PANGLIMA GARANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan ke atas sebuah gudang terpencil yang disyaki menggajikan pekerja asing secara haram pada Rabu.
Operasi khas yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM bermula pukul 10.55 pagi itu hasil maklumat serta aduan awam dan membawa kepada penahanan warga asing dari lima negara berbeza.
Kesemua ditahan terdiri daripada dua lelaki warga China, sembilan warga Bangladesh, dua warga India, 10 warga Myanmar serta seorang wanita warga Kemboja.
“Semakan awal mendapati dua warga China menyalahgunakan pas, dua warga Bangladesh tinggal lebih masa, manakala selebihnya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah,” menurut kenyataan JIM pada Khamis.
Menurut jabatan itu lagi, premis berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembungkusan barangan dari China untuk pasaran dalam talian dan telah beroperasi sejak enam bulan lalu.
“Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, kegiatan ini dijalankan di lokasi terpencil tanpa papan tanda perniagaan,” katanya.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.








