KDN Minta Penganjur Batalkan Himpunan Isu Rumah Ibadat Haram

PETALING JAYA: Himpunan aman bagi membantah rumah ibadat haram dinasihat tidak diteruskan, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dalam kenyataan, KDN berkata polis akan berjumpa penganjur perhimpunan dan meminta mereka memberi kerjasama tidak meneruskan perhimpunan yang dirancang apatah lagi perhimpunan itu dilakukan sepanjang lawatan rasmi perdana menteri India ke negara ini.

Katanya, lawatan itu yang akan bermula Sabtu hingga 8 Februari adalah simbolik kepada hubungan diplomatik yang kukuh serta semangat saling menghormati antara kedua-dua negara.

“KDN melalui pasukan polis bertanggungjawab menyusun semua persiapan keselamatan yang rapi bagi memastikan kelancaran acara tersebut tanpa sebarang gangguan terhadap ketenteraman awam.

“Orang ramai digesa tidak mengadakan sebarang perhimpunan di tempat awam sepanjang tempoh lawatan rasmi tersebut,” katanya.

Terdahulu, satu himpunan aman oleh 141 badan bukan kerajaan (NGO) didakwa dijadualkan di pekarangan Kompleks Sogo bermula 8 malam.

Himpunan berkenaan dianjurkan oleh Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) dan ia bertujuan membuka mata pihak berkuasa, kerajaan serta masyarakat umum mengenai peningkatan jumlah rumah anutan haram yang didakwa berlaku dari masa ke semasa tanpa tindakan berkesan.

Menurutnya, antara tuntutan utama yang akan diketengahkan adalah gesaan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas, termasuk membawa individu atau pihak yang terlibat ke muka pengadilan.


Baca juga:

Anda Mungkin Berminat