KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI bersetuju memberikan diskaun bayaran tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 bagi meringankan kos perjalanan rakyat, khususnya mereka yang pulang ke kampung halaman atau bercuti.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Kabinet, dengan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM19.5 juta bagi bayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat.
“Keputusan ini selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga kesejahteraan rakyat serta memupuk perpaduan merentasi kepelbagaian agama dan kaum,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata pelaksanaan diskaun tol itu akan bermula pada jam 12.01 tengah malam, 14 Februari dan berakhir pada jam 11.59 malam, 15 Februari 2026.
Menurutnya, inisiatif berkenaan diharap dapat membantu mengurangkan beban kewangan pengguna lebuh raya, khususnya ketika permintaan perjalanan meningkat sempena musim perayaan.
“Pemberian diskaun ini diharap dapat memudahkan pergerakan rakyat yang ingin menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga atau memulakan perjalanan awal Ramadan,” katanya.

Diskaun tol 50 peratus itu melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang, namun tidak meliputi plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang.
Alexander Nanta berkata pemilihan tarikh pelaksanaan dibuat bagi mengelakkan penumpuan trafik yang melampau serta membolehkan penyelarasan operasi dan logistik di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau turut menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal serta memanfaatkan aplikasi MyPLUS-TTA dan TuJu Highway Navigation App bagi mendapatkan cadangan waktu perjalanan yang lebih selamat.
“Pengguna juga dinasihatkan mematuhi had laju, papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di sistem mesej berubah (VMS) demi keselamatan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai disaran menyemak keadaan trafik semasa melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM bagi mendapatkan maklumat terkini sepanjang musim perayaan ini.
Baca juga:








