Kerajaan terus pantau krisis bekalan global, Budi MADANI diteruskan

PUTRAJAYA: Kerajaan akan terus memperkukuh langkah menangani kesan krisis rantaian bekalan global yang semakin menekan ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini yang turut mendengar pembentangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Menurut beliau, kerajaan memahami tekanan yang dihadapi rakyat susulan ketidaktentuan ekonomi dunia dan kenaikan kos kehidupan ketika ini.

“Atas pertimbangan tersebut, Kerajaan bersetuju meneruskan inisiatif Budi MADANI: Budi Agri-Komoditi secara bersasar demi membantu pekebun kecil, pengusaha serta golongan rentan yang menjadi tulang belakang ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, kerajaan turut memberi perhatian serius terhadap aspek jaminan kesihatan rakyat termasuk memastikan bekalan ubat kekal stabil di pasaran.

Katanya, KKM akan terus memantau secara rapi sebarang cabaran melibatkan rantaian stok dan harga ubat bagi mengelakkan rakyat terkesan akibat situasi global semasa.

“Secara keseluruhannya, bekalan ubat masih stabil dan pemantauan akan diteruskan bagi memastikan rakyat tidak menjadi mangsa keadaan,” katanya.

Beliau menegaskan, Kerajaan MADANI akan terus bekerja keras dan bertindak dengan pendekatan penuh ihsan demi memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan negara walau apa juga cabaran mendatang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat