PUTRAJAYA: Kerajaan terus mempergiat pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan harga barangan keperluan kekal terkawal susulan kebimbangan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup dan isu bekalan makanan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan kini memantau pergerakan harga barangan setiap minggu dan secara keseluruhan harga makanan domestik bagi tempoh 18 hingga 21 Mei lalu masih berada dalam julat terkawal antara penurunan dua peratus hingga kenaikan 3.6 peratus.
Menurut beliau, purata harga ayam ketika ini berada pada RM9.57 sekilogram manakala harga daging lembu mencatatkan penurunan dua peratus kepada RM38.45 sekilogram.
“Bagi sawi pula, terdapat kenaikan ketara sebanyak 3.6 peratus kepada RM7.08 sekilogram,” katanya ketika Taklimat Krisis Bekalan Global hari ini.
Beliau berkata, walaupun terdapat kenaikan harga bagi beberapa barangan tertentu, kerajaan mendapati masih ada kawasan dan premis perniagaan yang menawarkan harga lebih rendah kepada pengguna.

Sehubungan itu, Akmal mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
Pada masa sama, beliau menggalakkan rakyat menggunakan aplikasi PriceCatcher bagi membandingkan harga barangan dan membuat pilihan pembelian yang lebih bijak.
“Jadilah pengguna yang bijak kerana kuasa membeli ada di tangan anda,” katanya.
Menurut beliau, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan bekalan dan harga barangan menerusi Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan yang kini dibuka untuk akses awam.
Mengulas mengenai pasaran buruh pula, Akmal berkata seramai 7,057 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 orang pada Mac.
“Walaupun angka ini lebih rendah berbanding Januari seramai 10,658 orang dan Februari sebanyak 7,512 orang, perkembangan ini tetap perlu diberi perhatian,” katanya.
Justeru, beliau berkata kerajaan akan memastikan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) atau LINDUNG Kerjaya di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dapat berfungsi dengan pantas bagi membantu individu yang kehilangan pekerjaan.
Baca juga:








