AKTIVITI belon udara panas mencuri tumpuan pengunjung sempena Pesta Angin Timur Perlis 2026 (PAT 2026) apabila ditampilkan antara tarikan utama festival berkenaan yang berlangsung di Dataran Lapang Kangar Jaya, Perlis.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, pengalaman menaiki belon udara panas itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail bersama Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Radzi Omar.
Menurut MOTAC, penyertaan pimpinan negeri dan persekutuan itu mencerminkan sokongan terhadap penganjuran acara yang berteraskan seni, budaya dan pelancongan, selain memperkukuh kerjasama strategik dalam memajukan sektor pelancongan negeri.
“PAT 2026 menjadi platform penting dalam memperkayakan penawaran produk pelancongan berasaskan pengalaman unik dan berimpak tinggi di Perlis,” menurut kenyataan kementerian itu pada Sabtu.
Dalam pada itu, Rahimi berkata aktiviti belon udara panas berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan ikonik negeri kerana mampu menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja merancakkan ekonomi setempat, malah membantu memperkukuh imej Perlis sebagai destinasi pelancongan yang unik dan berdaya saing,” katanya.
Sementara itu, Mohd Radzi memaklumkan penganjuran PAT 2026 turut selari dengan usaha memartabatkan seni dan budaya tempatan melalui pendekatan kreatif serta pengalaman pelancongan yang lebih segar.
“Gabungan elemen budaya, seni dan aktiviti berasaskan pengalaman seperti ini mampu memberikan nilai tambah kepada industri pelancongan negara,” katanya.
PAT 2026 yang berlangsung dari 6 hingga 8 Februari itu terbuka kepada orang awam dan dijangka menarik kehadiran ribuan pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Festival berkenaan juga menjadi sebahagian daripada inisiatif menyokong kempen Visit Malaysia 2026, sekali gus mempromosikan Perlis sebagai antara destinasi pelancongan alternatif yang semakin mendapat perhatian.
Baca juga:








