Oleh: Tyah Helmi
TITIWANGSA: Sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Ahad dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Dalam ucapannya, Fahmi menekankan bahawa HKI menjadi platform penting menyatukan komuniti dan institusi keluarga dalam membina masyarakat digital yang berdaya tahan, berpengetahuan serta bertanggungjawab.
“Objektif utama HKI MCMC adalah pastikan capaian internet di seluruh negara bukan sahaja lebih luas, murah dan pantas malah lebih selamat,” katanya.
Beliau turut menegaskan peranan kerajaan, industri dan masyarakat dalam memastikan penggunaan internet yang selamat, beretika dan berhemah khususnya bagi melindungi kanak-kanak, remaja serta kesejahteraan keluarga.
Sambutan kali ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan, pencegahan dan penglibatan awam, hasil kerjasama agensi kerajaan, sektor swasta serta rakan antarabangsa.
Antara pengisian utama ialah pendedahan amali kawalan ibu bapa, perlindungan akaun digital dan langkah mengelakkan penipuan dalam talian.
Selain itu, HKI 2026 turut menampilkan reruai pameran interaktif, aktiviti pendidikan digital, e-sukan dan permainan berkonsepkan keselamatan siber, di samping persembahan hiburan yang berjaya menarik penyertaan merentas generasi.
Pada majlis sama, Kempen Internet Selamat 2026 dilancarkan dengan sasaran melatih sejuta rakyat Malaysia dalam pengetahuan dan kemahiran keselamatan dalam talian.
Sambutan ini juga menjadi kemuncak kepada usaha pembaharuan perundangan dan kawal selia kerajaan serta MCMC termasuk penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang mula berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Antara langkah baharu ialah had umur pendaftaran akaun media sosial bagi individu bawah 16 tahun melalui pendekatan regulatori bersepadu.
“Pendekatan holistik ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mengurus ekosistem digital negara, merangkumi aspek penguatkuasaan, pematuhan platform, pendidikan pengguna dan kesedaran awam,” katanya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Fadlun Mak Ujud serta rakan strategik dan pemain industri.








