Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Peranan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak tidak boleh digantikan oleh teknologi atau algoritma, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Beliau berkata, asas masa depan seseorang individu sebenarnya dibentuk sejak peringkat awal kehidupan kanak-kanak, justeru perhatian serius perlu diberikan terhadap perkembangan mereka.
“Siapakah yang membesarkan anak-anak kita, kita atau algoritma? Masa depan kita dibentuk dalam tahun-tahun terawal kehidupan kanak-kanak,” katanya ketika berucap pada Forum Dunia Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak, semalam.
Menurutnya, perubahan gaya hidup masa kini menyaksikan aktiviti bermain dalam kalangan kanak-kanak turut berubah seiring perkembangan teknologi.
“Hari ini apabila kita menyuruh kanak-kanak ‘pergi bermain’, ia bukan lagi bermaksud bermain di luar bersama rakan, sebaliknya mereka mencapai skrin,” katanya.

Beliau berkata, walaupun teknologi membuka ruang pembelajaran, ia turut mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan pantas dan berintensiti tinggi yang boleh menjejaskan tumpuan, tingkah laku serta perkembangan mereka.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan sedang mengambil langkah tegas termasuk memperkukuh penguatkuasaan terhadap kandungan berbahaya serta meneliti semula langkah perlindungan seperti akses media sosial mengikut umur.
“Perlindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama melibatkan ibu bapa, sekolah, komuniti dan pembuat dasar,” katanya.
Baca juga:








