Oleh: Tyah Helmi
PARLIMEN | Kerajaan Madani memperuntukkan lebih RM2 bilion bagi menangani peningkatan kos sara hidup demi memastikan tiada rakyat terpinggir di negeri Sabah.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, antara bantuan dan ikhtiar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani ialah dengan meningkatkan peruntukan kepada RM15 bilion menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Lebih 800,000 penerima STR dan SARA di Sabah menerima peruntukan RM1.25 bilion, transaksi penggunaan SARA bulanan sebanyak 98 peratus.
“Kira-kira 1.75 juta penerima SARA untuk semua menerima peruntukan sebanyak RM175 juta dengan traksaksi penggunaan semua 93 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Parlimen di Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) berhubung langkah segera yang diambil oleh Kerajaan bagi menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya melibatkan harga barang asas.
Selain itu, Liew menyatakan Kerajaan Madani turut meningkatkan peruntukan bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 3.1 bilion ringgit yang memberi manfaat kepada 47,000 penerima di negeri Sabah dengan peruntukan kira-kira RM330 juta.
“Sejumlah RM1 bilion disediakan bagi menangani kos sara hidup termasuklah Program Jualan Rahmah MADANI sebanyak RM600 juta bagi menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk 73 DUN di Sabah dengan kekerapan 3 kali sebulan setiap DUN,” katanya.
Dalam pada itu, Kerajaan Madani turut memperuntukkan sebanyak RM67 juta untuk Program Penyeragaman harga manakala Program Pengedaran Barang Perlu diperuntukkan sebanyak RM250 juta bagi menangani isu perbezaan harga barangan asas yang ketara abah dan Sarawak berbanding Semenanjung Malaysia berikutan kos logistik yang tinggi.
Kerajaan turut menyediakan hampir RM800 juta menerusi Program Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan asas persekolahan anak-anak di seluruh negara.
Tegas beliau, kerajaan begitu komited untuk memastikan tiada rakyat terpinggir, termasuk di Sabah, dalam usaha menangani peningkatan kos sara hidup serta memperkukuh jaringan keselamatan sosial.
Baca juga:








