PETALING JAYA: Tiada asas untuk menyingkirkan Tan Sri Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Azan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, jadi tidak timbul isu tersebut.
“Orang buat kerja nak pecat mengapa? Baca penjelasannya (mengenai laporan dakwaan pegangan saham),” katanya malam tadi, seperti dipetik berita tempatan.
Anwar berkata, kritikan dilemparkan terhadap Azam adalah tidak sihat, dan menggesa semua pihak meneliti penjelasannya sebelum membuat sebarang penghakiman.
Beliau berkata, keputusan tidak seharusnya dibuat tanpa mendengar penjelasan pihak berkaitan dan pertimbangan fakta.
Terdapat desakan daripada Ahli Parlimen PKR seperti Datuk Seri Rafizi Ramli dan Hassan Karim, antara lain supaya Azam meletak jawatan atau kerajaan menggantung atau memecatnya.
Ia susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham atau 1.7 peratus dalam Velocity Capital Bhd, berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.
Bagaimanapun, semalam Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, berkata di Dewan Rakyat kuasa untuk membenarkan penjawat awam membuat pelaburan saham melebihi RM100,000 terletak pada ketua setiausaha negara.
Semalam, Azam berkata akan menghantar surat tuntutan kepada Bloomberg dengan mendakwa laporan itu berniat jahat dan mencemarkan reputasinya serta SPRM.
Azam berkata, beliau mengisytiharkan pegangan sahamnya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam pada Julai 2025 dan melupuskannya pada tahun sama.
Baca juga:








