Industri perikanan Sabah kekal berdaya tahan – Mohamad Sabu

Oleh: Tyah Helmi

PARLIMEN | Kerajaan Madani terus memberi fokus dalam pembangunan industri perikanan di Sabah bagi menjamin keterjaminan makanan dan kelestarian sumber negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, fokus itu penting bagi memastikan industri perikanan Sabah kekal berdaya tahan dan mampu menyumbang secara signifikan kepada bekalan makanan negara.

“Mandat Kerajaan Persekutuan adalah jelas iaitu menggubal dasar, menyelaras perancangan serta menyediakan peruntukan dan teknologi yang diperlukan bagi memastikan sumber perikanan diurus secara mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang parlimen, dewan rakyat bagi menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau berkenaan peranan Kerajaan Persekutuan dalam pembangunan industri perikanan di Sabah.

Kata beliau, menerusi Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bersama Jabatan Perikanan Sabah (DOFS), pelbagai inisiatif pembangunan akuakultur moden dilaksanakan termasuk ternakan ikan bernilai tinggi seperti kerapu dan siakap serta pembangunan industri rumpai laut sebagai sumber pendapatan mampan.

“Sehingga tahun 2024, sebanyak 137 projek akuakultur telah dilaksanakan di Sabah melibatkan 612 penerima manfaat meliputi kawasan seluas 5,800 hektar. Projek ini berjaya menghasilkan 233,805 tan metrik bernilai RM421 juta dan menyumbang lebih 45 peratus kepada pengeluaran akuakultur negara,” ujarnya.

Menyentuh mengenai usaha memperkasa pengurusan sumber laut, Kerajaan Madani turut memberikan pemerkasaan pelesenan perikanan laut dalam kepada negeri Sabah berkuat kuasa 26 November 2021 bagi membolehkan pengurusan dan penerokaan perairan melebihi 30 batu nautika dilaksanakan secara lebih tersusun.

“Hasil pelaksanaan ini, pendaratan ikan marin di Sabah pada tahun 2024 merekodkan 201,812 tan metrik bernilai RM1.3 bilion. Ini membuktikan Sabah memainkan peranan besar dalam menjamin bekalan ikan negara,” katanya lagi.

Dalam aspek pemuliharaan sumber perikanan pula, tindakan memperkukuh ekosistem marin akan dilaksanakan melalui pemasangan 2,444 unit tukun tiruan di 97 lokasi, selain melaksanakan program pelepasan benih ikan dan udang serta pembangunan industri rumpai laut yang memberi manfaat kepada lebih 1,200 pengusaha.

“Kita bukan sahaja menumpukan kepada pengeluaran, tetapi juga kelestarian sumber supaya generasi akan datang terus menikmati hasil laut,” tambahnya.

Muhamad Sabu turut memaklumkan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti nelayan, Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sabah melalui Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Belanjawan Negeri Sabah telah memperuntukkan RM38 juta.

“Peruntukan ini meliputi penyediaan peralatan moden, pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran serta perlindungan insurans perikanan. Pada masa sama, kita galakkan aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan produk sejuk beku bagi meningkatkan pendapatan nelayan,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat