KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau bersedia sepenuhnya untuk disiasat oleh mana-mana badan bebas yang ditubuhkan kerajaan berhubung isu pemilikan saham yang dikaitkan dengannya.
“Saya terbuka sepenuhnya untuk disiasat oleh mana-mana badan bebas yang ditubuhkan kerajaan bagi meneliti secara khusus perkara berkaitan pemilikan saham saya.
“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, segala perincian kewangan dan harta telah diisytiharkan mengikut Peraturan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa melalui saluran rasmi yang ditetapkan kepada setiap penjawat awam.
“Saya mengalu-alukan sebuah proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang,” katanya.
Azam menekankan bahawa pendekatan itu bukan sahaja penting untuk mempertahankan integriti peribadi, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi penguatkuasaan.
“Prinsip ini harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian.
“Budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada sesiapa berada di atas undang-undang, dan pada masa sama, tiada pihak yang wajar dihukum hanya berdasarkan persepsi media.
“Tiada siapa berada di atas undang-undang dan tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata,” katanya.
Menurut Azam, SPRM sentiasa mengambil maklum setiap laporan dan aduan daripada mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menilai maklumat tersebut berdasarkan undang-undang serta fakta yang diperoleh melalui proses siasatan sah.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana mekanisme sah yang ditubuhkan bagi meneliti isu berkenaan, sambil menyatakan keyakinan bahawa kebenaran akan ditegakkan melalui proses yang adil dan bebas.








