Artikel | Gin Zhua Dan Bak Jong: Memori Tahun Baharu Cina Anak Hokkien Kelantan

Oleh: Aliyaa Azmi

ARTIKEL | BAGI Kor Mey Mey, anak jati Kelantan berketurunan Hokkien, Tahun Baharu Cina bukan sekadar perayaan bertukar kalendar tetapi musim paling bermakna untuk keluarga berkumpul, bertukar cerita dan mengeratkan hubungan yang mungkin ‘longgar’ sepanjang tahun.

“Bagi saya, ini memang musim khas untuk ‘family gathering’ dan ‘update’ keluarga,” katanya ringkas, menggambarkan keterujaan setiap kali tibanya perayaan itu.

Tebu Sebagai ‘Pintu’ Kepulangan Dewa

Dalam komuniti Hokkien di Kelantan, satu tradisi unik masih dipertahankan iaitu meletakkan dua batang tebu tinggi di sisi altar rumah beberapa hari sebelum Tahun Baharu Cina.

Menurut Mey Mey, lima hari sebelum perayaan, keluarga akan menjalankan upacara ‘menghantar’ dewa yang disembah di rumah kembali ke syurga.

Pada hari keempat Tahun Baharu Cina pula, dewa dipercayai akan kembali semula ke rumah melalui simbolik tebu yang diletakkan di tepi altar.

“Beberapa hari sebelum Tahun Baharu Cina, setiap rumah akan beli dua batang tebu dan letak di sebelah altar sebagai pintu,” katanya.

Selain itu, persiapan lain termasuk menyediakan kuih-muih tradisional, mengemas rumah serta menghias ruang kediaman sebagai tanda menyambut kedatangan tahun baharu dengan suasana bersih dan ceria.

Tradisi Tidak Pernah Dilupakan

Walau sesibuk mana sekalipun, keluarganya tetap mengekalkan amalan mengemas altar, menjalankan upacara menghantar dewa ke syurga serta sembahyang kepada nenek moyang.

Katanya, pelbagai hidangan akan disediakan khusus untuk upacara tersebut sebelum seluruh ahli keluarga duduk semeja menikmati makanan bersama.

“Lepas sembahyang, kami semua akan makan bersama-sama.

“Ini menggambarkan momen yang menjadi nadi kepada perayaan itu sendiri iaitu kebersamaan,” ujarnya.

Ayam Kukus dan ‘Bak Hong’ Jadi Rebutan

Di meja makan malam perjumpaan keluarga, dua hidangan wajib yang tidak pernah gagal muncul ialah ayam kukus dan Bak Hong iaitu lauk daging yang dimasak kicap manis dan masin sehingga empuk.

Ayam kukus pula dihidangkan bersama kicap Cap Gajah dan bawang putih cincang, kombinasi rasa yang cukup sinonim dengan dapur tradisi Hokkien.

Namun, seperti kebanyakan keluarga besar lain, ada momen lucu yang sentiasa berulang saban tahun.

“Semua sepupu memang berebut paha ayam lepas sembahyang nenek moyang,” katanya lagi.

Kenangan Zaman Kanak-Kanak

Antara kenangan paling manis bagi Mey Mey ialah saat semua sepupu berkumpul melipat kertas perak (gin zhua) untuk dipersembahkan kepada nenek moyang.

Belum lagi suasana pagi hari pertama Tahun Baharu Cina, semua adik-beradik berebut bilik air untuk berdandan dan yang paling pandai menggayakan rambut pasti akan ‘diserbu’ untuk membantu yang lain.

Ia mungkin kelihatan kecil tetapi bagi Mey Mey, detik-detik itulah yang menjadikan perayaan lebih hidup dan bermakna.

Harapan Tahun Kuda

Memasuki Tahun Kuda, Mey Mey menyimpan harapan agar tahun ini membawa keberanian untuk melangkah ke hadapan dan mencapai kejayaan sedikit demi sedikit.

“Semoga kita dapat bergerak maju dengan berani dan berjaya langkah demi langkah. Harap tuah datang dengan segera,” katanya.

Dalam kepelbagaian budaya Malaysia, kisah kecil keluarga Hokkien di Kelantan seperti ini memperlihatkan bagaimana tradisi, kepercayaan dan kenangan zaman kanak-kanak terus menjadi pengikat merentas generasi dan masa.

Anda Mungkin Berminat