KUANTAN: Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) bakal menikmati lonjakan besar dalam kemudahan dan persekitaran pembelajaran apabila projek pembinaan bangunan serta fasiliti tambahan sedang giat dilaksanakan.
Projek tersebut merangkumi pembinaan asrama, astaka berbumbung, dewan serbaguna terbuka, kuarters, padang hoki sintetik, padang latihan serta pelbagai kemudahan lain.
Apabila siap kelak, ia dijangka meningkatkan kapasiti dan keselesaan warga SSMP, sekali gus memperkukuh ekosistem latihan atlet muda negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang meninjau projek berkenaan pada Isnin, menegaskan kepentingan SSMP sebagai pusat melahirkan jaguh sukan masa depan.
“Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) perlu terus hebat, melahirkan lebih ramai jaguh sukan yang membanggakan negara di persada antarabangsa pada masa hadapan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
SSMP sememangnya sinonim dengan sukan ragbi.
Pasukan kebanggaan sekolah, ‘Falcons’, telah mencatatkan kejayaan membanggakan apabila menjuarai Super Schools Rugby 2025 dan terbaru, muncul juara Kejohanan Ragbi Asia Tujuh Sebelah Bawah 19 Tahun 2026.
Fadhlina berkata, kejayaan tersebut membuktikan SSMP bukan sahaja melahirkan atlet berprestasi tinggi, malah menyumbang kepada pembangunan sukan negara.
“Semoga SSMP terus cemerlang, menyumbang kepada pembangunan sukan negara,” kata beliau.








