KUANTAN: Negara dikejutkan dengan berita duka apabila satu kejadian tragis berlaku di Taman Cherating Damai, di sini, awal pagi tadi.
Susulan insiden itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi segera turun ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan bagi mendapatkan laporan terkini daripada pihak berkuasa.
Dalam satu hantaran di Facebook beliau, Ahmad Farhan menzahirkan rasa simpati mendalam terhadap keluarga mangsa dan menyeru masyarakat agar menjaga sensitiviti serta menghormati privasi mereka.
“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa kejadian tragis di Cherating yang berlaku awal pagi tadi.
“Sejurus menerima khabar duka ini, saya telah turun ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan bagi mendapatkan laporan terkini daripada pihak berkuasa mengenai perkembangan kes,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh menjejaskan emosi keluarga mangsa serta mengganggu siasatan pihak polis.
“Dalam situasi yang amat sukar ini, saya memohon kerjasama semua pihak agar menjaga sensitiviti dan menghormati privasi keluarga mangsa.
“Elakkan sebarang spekulasi yang tidak sahih di media sosial. Marilah kita memberikan ruang sepenuhnya kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan mereka,” katanya.
Ahmad Farhan turut mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini.
“Semoga keluarga arwah diberikan kekuatan dan ketabahan yang tinggi dalam menghadapi ujian berat ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, empat mayat ditemukan dalam sebuah bilik dan mayat seorang wanita dengan kesan berlumuran darah ditemukan di dapur kediaman terbabit.
Menurutnya, semua mayat ditemukan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun juga adik kepada suspek utama juga tinggal di rumah terbabit selepas terdengar kekecohan di kediaman berkenaan.
Katanya, mayat berkenaan membabitkan seorang lelaki berusia 32 tahun, isterinya berusia 28 tahun, dua kanak-kanak perempuan anak pasangan terbabit berusia tiga dan empat tahun serta nenek kanak-kanak terbabit berusia 53 tahun.







